Archive

Archive for August, 2011

Berakhirnya PERKEMAS 2011…

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, maka program PERKEMAS 2011 telah berjaya dijalankan seperti yang telah dirancang. Dengan izin Allah jua, cuaca yang pada mulanya disangka akan hujan, telah menjadi sungguh baik, panas, terang dan sesuai untuk perjalanan program. Seramai 16 keluarga telah hadir dan menjayakan program perkhemahan tersebut.

Program perkhemahan di Park Foot bermula pada Sabtu, dengan keluarga masing-masing hadir beransur-ansur dan mendirikan khemah. Bermula dengan sesi taaruf, selepas solat jamak berjemaah, program diteruskan dengan barbeku beramai-ramai. Sikap gotong royong menyedia dan membakar lauk yang telah disediakan sangatlah dirasakan seperti berada dalam suasana masyarakat Malaysia di tanahair. Anak-anak pula bermain bersama-sama dan para ibu dan wanita beramah mesra sesama sendiri. Kaum bapa sibuk membakar lauk sambil merasa hasil barbeku.

Hari kedua dimulai dengan solat Subuh berjemaah dalam suasana sejuk & dingin. Selepas sesi sarapan & hemat diri, dengan cuaca yang baik, program diteruskan dengan program sukaneka dan program anak-anak. Sukaneka menjadi satu lagi medan berkenalan sesama keluarga & beramah mesra. Sifat kesukanan dan toleransi menjadi pemangkin untuk sama-sama memeriahkan program sukaneka, dari yang tua/veteran hingga ke muda. Program anak-anak juga diteruskan dan sifat bermain berkumpulan dan bekerjasama dapat diterap dan disaksikan. Sehinggakan ada anak-anak yang telah menjalin hubungan yang erat sesama sendiri. Pada petangnya, program diteruskan dengan acara bebas untuk keluarga masing-masing.

Program diteruskan pada hari terakhir dengan trekking bersama-sama sepanjang tasik Ullswater. Pemandangan yang indah ciptaan Allah dapat disaksikan dan peluang bergambar beramai-ramai diambil bagi merakam memori yang kekal berpanjangan. Selepas itu, trekking diteruskan dengan ke bandar kecil Pooley Bridge dan anak-anak mengambil peluang bermain di anak sungai. Hampir tengahari, masing-masing bersiap-siap untuk makan tengahari dan mengemas khemah. Selepas solat Zuhur, sesi penyampaian sijil penyertaan diberi kepada setiap wakil keluarga dan bersurai.

Walaupun program disertai oleh sejumlah kecil peserta, tetapi berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dan rata-rata semua berasa gembira kerana turut serta menjayakan program tahunan ini. Kepada semua peserta, AJK dan ahli keluarga serta anak-anak, pihak penganjur merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kesudian memeriahkan program perkhemahan keluarga musim panas 2011 ini.

This slideshow requires JavaScript.

Categories: perkemas 2011